Khamis, 15 Julai 2010

Sya'ban Bulan Persiapan dan Latihan


Saudara/i, kini kita telah berada di bulan Sya'ban yang bermakna kita sudah diambang bulan Ramadan. Kita lihat Rasulullah saw apabila tiba bulan Rejab, baginda akan berdoa supaya diberkati bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadan serta dipanjangkan usia sehingga menemui bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
"Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan berkatilah kami pada bulan Ramadhan ” (riwayat: Ahmad)

Oleh kerana itu, marilah kita jadikan bulan Sya'ban ini sebagai bulan persiapan diri bagi menyambut ketibaan ramadan nanti dengan amal ibadah. Antaranya ialah memperbanyakkan puasa sunat isnin dan khamis, bertilawah Quran, berqiamullail, bersedekah, menabung, ziarah-menziarahi, membersihkan rumah, ingat-mengingati dan sebagainya. Mudah-mudahan bila tiba bulan Ramadan kita telah terus melipat gandakan ibadah hasil persiapan di bulan Sya'ban ini.


Isnin, 5 Julai 2010

Berbicara dengan Allah dalam solat

Solat... satu ibadah yang sangat istimewa..kita berhubung dan berbicara terus dengan Allah.Setiap kali membaca al Fatihah dalam solat, kita sebagai hamba sebenarnya sedang berkomunikasi dengan Allah. Justeru itu ingatan buat diriku dan semua pembaca agar sentiasa menggunakan saat ini dengan sebaiknya.Di bawah diterjemahkan maksud Al Fatihah yang dibaca dan jawapan dari Allah yang Maha Esa...Maha suci Allah yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar!

Hamba :الحمدلله رب العلمين
Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta Alam

ِAllah : Hambaku telah mengingatiku

Hamba : الرحمن الرحيم
Maha pemurah lagi Maha Penyayang

Allah : HambaKu telah memujiku

Hamba : ملك يوم الدين
Yang menguasai pada hari pembalasan

Allah : Hambaku telah mengagungkan Ku

Hamba : اياك نعبد واياك نستعين
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya Engkaulah kami meminta pertolongan.

Allah : HambaKu telah memuliakan Ku

Hamba : اهد ناالصراط المستقيم
Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Allah : Ayat ini antara Aku dan hambaKu,dan hambaKu berhak atas apa yang ia minta.

Hamba :صراط الذين انعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولاالضالين
(Iaitu) jalan yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka,bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan)mereka yang sesat.

Allah : Ini semua untuk hambaKu dan hambaKu berhak atas apa yang dia minta.

(Hadith Riwayat Muslim, AtTarmizi dan An Nasai)

Ahad, 4 Julai 2010

Buatlah Kebaikan Walaupun Ianya Kecil


Sabda nabi: "Ketika seorang lelaki melalui satu jalan, ia merasa sangat haus lalu menemui sebuah perigi. Ia masuk ke dalam perigi dan meminum airnya. Ketika keluar dari perigi itu, ia melihat seekor anjing yang menjilat-jilat dan memakan pasir kerana kehausan. Lelaki itu berkata: "Anjing itu merasa kehausan seperti yang aku alami". Iapun masuk ke dalam perigi semula dan memenuhkan kasutnya dengan air, menggigit kasut dengan mulutnya sampai berjaya naik ke atas lalu memberi minum anjing tersebut. Allah pun berterima kasih kepadanya, mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga". (Bukhari dan Muslim)

Oleh itu sebagai manusia yang berhati mulia lakukanlah kebaikan di mana sahaja kita berada bukan sahaja kepada semua manusia bahkan kepada semua makhluk di bumi ini. Buatkan khidmat bakti walaupun nampak kecil dan remeh tetapi sebenarnya ia tetap dipandang Allah dan diberi ganjaran yang besar di sisiNya.

Ahad, 27 Jun 2010

Janji Allah kepada orang soleh


" Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Allah berfirman (yang bermaksud)Aku menyediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh, yang tidak pernah dilihat oleh mata,tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia."( Muttafaq 'alaih-hadis sahih)

Justeru itu sematlah di sanubari akan betapa ruginya kita jika tidak tergolong dalam golongan orang yang soleh.Berusahalah ke arah mendidik diri menjadi insan Rabbani yang mengamalkan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.Moga Syurga kan jadi milik kita! Amin.

Isnin, 21 Jun 2010

Elakkan diri merasa tenang daripada kemurkaan Allah


Saudara/i,
Seorang manusia yang merasa tenang dari kemurkaan dan siksaan Allah akan berterusan melakukan perbuatan dosa dan maksiat sehingga ajalnya. Akibatnya dia akan mengalami su'ul khatimah (kesudahan yang buruk) di akhir hidupnya dan di akhirat dia akan dihumbankan ke dalam api neraka.

Nabi telah mengingatkan kita dalam sebuah hadith daripada Ibn Abbas r.a: "Rasulullah pernah ditanya mengenai dosa-dosa besar, lalu baginda menjawab: "Syirik kepada Allah, putus asa dari rahmat Allah dan merasa aman dari murka Allah". (Al-Bazzar)

Oleh itu, orang yang tidak merasa bersalah atau berdosa setiap kali melakukan kesalahan adalah tanda-tanda dosa besar, hati yang hitam dan iman yang lemah. Tetapi bagi orang yang melakukan dosa dan merasa bersalah di atas dosa yang dilakukan dan terus bertaubat adalah sifat orang yang beriman dan akan memperolehi husnul khatimah (kesudahan yang baik) di hujung usianya nanti.

Jumaat, 18 Jun 2010

INGATLAH MATI..

Saudaraku,

Kematian datang entah bila waktunya..di mana..ketika apa kita waktu itu..tidur,memandu,berbual atau apa saja..Allah saja yang Maha tahu.

Mengingati mati adalah satu motivasi untuk mendekatkan diri dengan Allah.Mengingati mati membuatkan kita sedikit berangan-angan indah syurga yang menanti,banyak beramal kabaikan dan memiliki rasa takut untu berbuat dosa.
Rasulullah saw bersabda,

" Perbanyaklah mengingati penghancur kenikmatan,yakni kamatian". HR Tarmizi.

Berjinak dengan Orang Soleh

Saudaraku,

Selain kita diminta menjauhkan diri daripada rakan yang berakhlak buruk, kita juga disuruh mendekati dan berjinak dengan sahabat yang soleh dan yang bergaul dengan orang yang berakhlak mulia sebagaimana sabda nabi; "Perumpamaan teman duduk yang soleh itu seperti penjual minyak wangi. Jika ia tidak memberimu sebahagian dari minyak wanginya, maka kamu sudah mendapatkan bau wangi darinya". (Abu Daud)

Sahabat yang baik dan soleh mampu mendidik kita dan mendorong kita berakhlak mulia dan seterusnya memimpin kita ke arah ketakwaan dan keimanan. Kita juga dapat mengambil teladan daripada akhlak dan gaya hidup mereka.

Justeru pilihlah sahabat yang baik atau carilah teman-teman yang soleh dan berkahlak mulia seperti yang disarankan oleh nabi.

Jauhi Teman yang berakhlak buruk

saudaraku,

Nabi saw mengingatkan kita supaya menjauhkan diri daripada bergaul dengan rakan atau teman yang berakhlak buruk kerana boleh mempengaruhi kita ke arah keburukan. Sabda nabi saw: "Perumpamaan teman yang buruk adalah seperti tukang pembuat arang. jika kamu tidak terkena arangnya, maka kamu akan akan terkena asapnya." (Abu Daud)

Oleh itu, jika kita ingin selamat daripada perkara keburukan dan kemaksiatan sebaik-baiknya kita bersahabat dan berkawan dengan mereka yang soleh dan baik akhlaknya.

Khamis, 17 Jun 2010

Islam Agama Rahmat

Saudaraku,

Sesungguhnya Allah telah menurunkan Islam sebagai peraturan dan sistem hidup yang membawa kebaikan dan kemakmuran bukan sahaja kepada manusia bahkan kepada seluruh alam termasuk haiwan dan makluk yang lain. Oleh kerana itu Allah telah menegaskan bahawa rasulullah saw diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.

Islam yang dibawa oleh Rasul saw untuk semua manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan, tanpa mengira masa dan zaman dan tanpa mengira tempat dan batas geografi. Alangkah indahnya Islam yang sesuai untuk semua zaman dan tempat. Oleh itu ambillah Islam dan amalkan seluruh ajarannya kerana ianya membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada umat manuia di mana jua berada.

Selasa, 23 Februari 2010

HAYATILAH ISLAM


Sauadaraku,
Nikmatnya makanan itu bila dirasa oleh lidah dikunyah seterusnya ditelan dengan penuh kenikmatan.Begitu juga Islam yang kita anuti selama ini.Adakah saudara telah terasa nikmatnya?Tidak mencuba takkan tahu..Islam bukan sekadar luaran,tetapi penghayatan yang jelas dalam diri dengan sepenuh keyakinan.Bermula sedari awal bangkit dari tidur hinggalah kita masuk ke kamar tidur semula...semuanya dengan langkah Lillahitaala.Terkadang kita terlupa dan mungkin tersasul..dalam perlakuan seharian kita jauh menyimpang dari jalanNya,walhal kita tahu itu bukan caranya.Justeru zikrullah amat perlu sentiasa basah dibibirmu...moga dengan ini dirimu dan diriku dirahmati selalu.
Saudaraku,
Sesungguhnya solatku,pengorbananku, hidupku dan matiku kerana Allah taala..inilah ucapan yang kita ucap setiap kali solat. Terungkapkah kalimah ini dalam kehidupan kita?Solat fardhu yang kita lakukan adakah penuh keikhlasan atau sekadar memenuhi kewajipan?Tidak hairanlah bilamana masih berlaku kemungkaran..." Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar..."Firman Allah ini tidak diambil iktibar.Pengorbanan yang kita ungkapkan hanya sekadar ungkapan dalam bacaan solat.Tidak memberi apa-apa makna sedikitpun.Bila diuji dengan kehidupan yang susah cabaran kerjaya dan anak-anak kita mudah keluh kesah. Ke mana perginya pengorbanan yang kita ungkap dalam lima waktu sehari semalam?Ayuhlah sama-sama kita muhasabah diri untuk menikmati Islam yang kita anuti ini.Barulah orang akan melihat betapa cantiknya dan indahnya Islam itu.ISLAM ITU SYUMUL..

Ahad, 21 Februari 2010

Indahnya Akhlak Rasulullah SAW

Saudaraku yang dihormati,

Islam sampai kepada kita saat ini tidak lain berkat jasa Baginda Rasulullah Muhammad SAW sebagai penyampai risalah Allah SWT yang benar dan di redhai. Dan nanti di padang mahsyar, setiap umat islam pasti akan meminta syafa’at dari beliau SAW dan menginginkan berada di barisan beliau SAW. Namun, pengakuan tidaklah cukup sekadar pengakuan. Pasti yang mengaku umat beliau SAW akan berusaha mengikuti jejak beliau dengan jalan mengikuti sunnah-sunnah beliau dan senantiasa membasahi bibir ini dengan mendoakan beliau dengan cara memperbanyak bersalawat kepada beliau SAW.

Sejarah tak akan mampu mengingkari betapa indahnya akhlak dan budi pekerti Rasulullah tercinta, Muhammad SAW hingga salah seorang isteri beliau, Sayyidatina A’isyah RAD mengatakan bahwa akhlak Rasulullah adalah “Al-Qur’an”. Tidak satu perkataan Rasulullah merupakan implementasi dari hawa nafsu beliau, melainkan adalah berasal dari wahyu Ilahi. Begitu halus dan lembutnya perilaku keseharian beliau. Rasulullah SAW adalah agung dengan sifat tawadhu’ yang tiada tandingnya.

Beliau pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak tanpa harus menyuruh isterinya. Dalam berkeluarga, beliau adalah seorang yang ringan tangan dan tidak segan-segan untuk membantu pekerjaan isterinya di dapur. Selain itu dikisahkan bahawa beliau tiada merasa canggung atau kekok untuk makan disamping seorang tua yang penuh kudis, kotor lagi miskin. Beliau adalah seorang yang paling sabar dimana ketika itu pernah kain beliau ditarik oleh seorang badui hingga berbekas merah dilehernya, namun beliau hanya diam dan tidak marah.

Dalam satu riwayat dikisahkan bahwa ketika beliau mengimami solat berjemaah, para sahabat mendapati seolah-olah setiap beliau berpindah rukun terasa susah sekali dan terdengar bunyi yang aneh. Selesai sholat, salah seorang sahabat, Sayyidina Umar bin Khatthab bertanya, “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah baginda menanggung penderitaan yang amat berat. Sedang sakitkah engkau ya Rasulullah? “Tidak Ya Umar. Alhamdulillah aku sehat dan segar.” Jawab Rasulullah. “Ya Rasulullah, mengapa setiap kali Baginda menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi-sendi tubuh baginda saling bergeseran? Kami yakin baginda sedang sakit”. Desak Sayyidina Umar penuh cemas.

Akhirnya, Rasulullah pun mengangkat jubahnya. Para sahabat pun terkejut ketika mendapati perut Rasulullah SAW yang kempis tengah di lilit oleh sehelai kain yang berisi batu kerikil sebagai penahan rasa lapar. Ternyata, batu-batu kerikil itulah yang menimbulkan bunyi aneh setiap kali tubuh Rasulullah SAW bergerak. Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah, adakah bila baginda menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya untuk tuan?”. Baginda Rasulullah pun menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apapun akan kalian korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apa jawabanku nanti dihadapan Allah, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban bagi umatnya? Biarlah rasa lapar ini sebagai hadiah dari Allah buatku, agar kelak umatku tak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih di akhirat nanti.

Teramat agung peribadi Rasulullah SAW sehingga para sahabat yang ditanya oleh seorang badui tentang akhlak beliau SAW hanya mampu menangis kerana tidak sanggup untuk menggambarkan betapa mulia akhlak beliau SAW. Beliau diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak manusia dan sebagai suri tauladan yang baik sepanjang zaman.

Saudaraku,

Sungguh kehadiran Rasulullah SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia segala hal yang beliau contohkan kepada umat manusia. Beliau tidak pernah pandang bulu atau kaum dalam hal menghargai manusia, penuh kasih sayang, tidak pernah mendendam, malahan beliau pernah menangis ketika mengetahui bahwa balasan kekafiran adalah neraka yang menyala-nyala hingga menginginkan umat manusia untuk mengEsakan Allah SWT.

Cukup kiranya beliau yang jadi suri tauladan kita, umat islam khususnya yang hari ini sebahagian sudah sangat jauh dari akhlak Rasulullah, baik dalam tindakan maupun perkataan yang menyejukkan. Apa yang dikatakan oleh seorang sastrawan Pakistan, Muhammad Iqbal dalam salah satu karyanya dapat kita jadikan renungan bersama dimana beliau berkata: “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti beliau (Nabi Muhammad)”.

Dalam salah satu hadits dikatakan bahwa “Belum beriman seseorang sehingga aku (Rasulullah Muhammad SAW) lebih dicintainya daripada ayahnya, anak-anaknya dan seluruh manusia”(HR. Bukhari). Kita tidak tahu apakah nanti akan di akui Rasulullah sebagai umatnya atau tidak kelak di yaumil kiamah. Namun satu yang pasti bahawa semua ingin berada di barisan beliau. Maka, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengikuti akhlak beliau SAW semampu diri kita, sebagai suri tauladan kita yang utama, memperbanyak ucapan salawat untuknya, membela sunnahnya, bukan malah membelakanginya (mari berlindung dari hal demikian), sebagai bahagian dari rasa cinta kita terhadapnya.

Saudaraku,

Mari kita sampaikan salam dan salawat kepada beliau SAW, yang dengannya kita akan beroleh cinta dan Syafa’atnya kelak di yaumil mahsyar.

InsyaAllah…Amin.

"Allahumma sholli ‘alaa sayyidina wa habibina wa mawlana Muhammad wa aalihi wa shohbihi wasallim"

"Ummati…Ummati…Ummati…." begitulah kata-kata terakhir Rasulullah SAW pada detik-detik terakhir sakaratul maut beliau. Begitu cintanya beliau kepada ummatnya, sedangkan kita masih juga melakukan hal-hal yang baginda benci dan larang. Astagfirullah al adzim.

Renunglah akhlak kita semasa ini. Di mana kita untuk mendapat syafaat Nabi SAW? Layak ke kita?

Semoga diri ini, tuan-tuan dan semua ummat semakin baik dan istiqamah sebagai hamba Allah SWT dan ummat Rasulullah SAW yang mulia itu…

Amin ya Rabbal alamin...

Petikan dari www.roslihanip.com

Khamis, 18 Februari 2010

Islam satu-satu agama yang diterima Allah

Saudara saudara yang dikasihi,

Islam adalah satu-satunya agama yang diterima Allah. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya ad-din (agama) yang diredai Allah hanyalah Islam". (Ali Imran:16)

Ini bermaksud sesiapa yang mengambil selain Islam sebagai agama maka ianya tertolak dan tidak diterima Allah. Malah ia berada di landasan kesesatan dan kebatilan. Segala amalan dan kerja buatnya akan menjadi sia-sia dan tertolak. Allah hanya menerima sesuatu amalan yang dibina atas asas iman dan berdasarkan ajarannya sahaja iaitu Islam.

Justeru, kita sebagai muslim semestinya menghayati dan melaksanakan Islam dalam seluruh kehidupan agar kita mendapat keredaan Allah. Seterusnya melayakkan kita mendapat ganjaran di sisinya.

Indahnya Islam


Assalamualaikum,

Saudara saudara yang dihormati,
Kita amat bersyukur dilahirkan sebagai seorang yang beragama Islam. Malah kita dibesarkan sebagai muslim. Seluruh hidup kita diajar untuk menjadi seorang muslim dengan mentaati ajaran-ajarannya yang diwajibkan ke atas umatnya.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang benar. Islam adalah agama yang indah. Ini kerana Islam adalah agama yang diturunkan oleh pencipta alam semesta ini dan disampaikan oleh rasul sebagai sebaik-baik manusia. Oleh itu beruntungnya kita sebagai muslim.

Justeru, marilah kita menjadi seorang muslim yang sebenar-benarnya agar kita mendapat keredaan Allah. Seterusnya mendapat balasan dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat.