Khamis, 15 Julai 2010

Sya'ban Bulan Persiapan dan Latihan


Saudara/i, kini kita telah berada di bulan Sya'ban yang bermakna kita sudah diambang bulan Ramadan. Kita lihat Rasulullah saw apabila tiba bulan Rejab, baginda akan berdoa supaya diberkati bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadan serta dipanjangkan usia sehingga menemui bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
"Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan berkatilah kami pada bulan Ramadhan ” (riwayat: Ahmad)

Oleh kerana itu, marilah kita jadikan bulan Sya'ban ini sebagai bulan persiapan diri bagi menyambut ketibaan ramadan nanti dengan amal ibadah. Antaranya ialah memperbanyakkan puasa sunat isnin dan khamis, bertilawah Quran, berqiamullail, bersedekah, menabung, ziarah-menziarahi, membersihkan rumah, ingat-mengingati dan sebagainya. Mudah-mudahan bila tiba bulan Ramadan kita telah terus melipat gandakan ibadah hasil persiapan di bulan Sya'ban ini.


Isnin, 5 Julai 2010

Berbicara dengan Allah dalam solat

Solat... satu ibadah yang sangat istimewa..kita berhubung dan berbicara terus dengan Allah.Setiap kali membaca al Fatihah dalam solat, kita sebagai hamba sebenarnya sedang berkomunikasi dengan Allah. Justeru itu ingatan buat diriku dan semua pembaca agar sentiasa menggunakan saat ini dengan sebaiknya.Di bawah diterjemahkan maksud Al Fatihah yang dibaca dan jawapan dari Allah yang Maha Esa...Maha suci Allah yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar!

Hamba :الحمدلله رب العلمين
Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta Alam

ِAllah : Hambaku telah mengingatiku

Hamba : الرحمن الرحيم
Maha pemurah lagi Maha Penyayang

Allah : HambaKu telah memujiku

Hamba : ملك يوم الدين
Yang menguasai pada hari pembalasan

Allah : Hambaku telah mengagungkan Ku

Hamba : اياك نعبد واياك نستعين
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya Engkaulah kami meminta pertolongan.

Allah : HambaKu telah memuliakan Ku

Hamba : اهد ناالصراط المستقيم
Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Allah : Ayat ini antara Aku dan hambaKu,dan hambaKu berhak atas apa yang ia minta.

Hamba :صراط الذين انعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولاالضالين
(Iaitu) jalan yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka,bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan)mereka yang sesat.

Allah : Ini semua untuk hambaKu dan hambaKu berhak atas apa yang dia minta.

(Hadith Riwayat Muslim, AtTarmizi dan An Nasai)

Ahad, 4 Julai 2010

Buatlah Kebaikan Walaupun Ianya Kecil


Sabda nabi: "Ketika seorang lelaki melalui satu jalan, ia merasa sangat haus lalu menemui sebuah perigi. Ia masuk ke dalam perigi dan meminum airnya. Ketika keluar dari perigi itu, ia melihat seekor anjing yang menjilat-jilat dan memakan pasir kerana kehausan. Lelaki itu berkata: "Anjing itu merasa kehausan seperti yang aku alami". Iapun masuk ke dalam perigi semula dan memenuhkan kasutnya dengan air, menggigit kasut dengan mulutnya sampai berjaya naik ke atas lalu memberi minum anjing tersebut. Allah pun berterima kasih kepadanya, mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga". (Bukhari dan Muslim)

Oleh itu sebagai manusia yang berhati mulia lakukanlah kebaikan di mana sahaja kita berada bukan sahaja kepada semua manusia bahkan kepada semua makhluk di bumi ini. Buatkan khidmat bakti walaupun nampak kecil dan remeh tetapi sebenarnya ia tetap dipandang Allah dan diberi ganjaran yang besar di sisiNya.